Thursday, 20 September 2012

WACANA SEMASA


Wacana Krisis Berdarah Syria 22 Sept

Harakahdaily,20 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Nadwah Ilmuan Muslim (Naim) menjemput asatizah menyertai Wacana Hibrul Ummah bersama tokoh muamalah semasa dari Syria, Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah pada 22 September ini.

Presiden Naim, Dr Mohd Khairuddin Aman berkata, wacana yang bertajuk Perkembangan Semasa Kewangan Islam dan Krisis Berdarah Syria itu bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari bertempat di Dewan Zaaba Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Justeru, katanya asatizah dijemput hadir ke wacana yang diadakan secara percuma itu dengan sasaran sumbangan kepada syeikh USD1,000.

Beliau berkata, pengesahan kehadiran bolehlah sms kepadanya di talian 0133621236, Ustaz Zamiri (0122942574) atau Ustaz Zul (0137722267).

Wednesday, 19 September 2012

BUKU MENARIK MINGGU INI


KPRU terbit buku Pendedahan di Parlimen

Harakahdaily,20 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Buku pertama Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU – Political Studies for Change) berjudul “Pendedahan di Parlimen: Dasar dan Cabaran Malaysia” kini diterbitkan dengan kata pengantar oleh Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Buku ini disunting oleh Pengarah Eksekutif KPRU, Ooi Heng dan memberi tumpuan kepada topik-topik penting tatkala Malaysia berada di ambang perubahan.

Sebagai sebuah badan pemikir dan penyelidikan, KPRU berharap kelahiran buku ini dapat memanjangkan wacana yang mengangkat dasar kepedulian rakyat.


Buku setebal 290 halaman ini berharga RM28 (tidak termasuk kos kiriman) dan merupakan penerbitan bersama KPRU dengan Strategic Information and Research Development Center (SIRD). Sesiapa yang berminat untuk membelinya sila emel Ooi Heng melalui ooiheng@gmail.com dengan menyatakan nama, nombor telefon bimbit, alamat dan bilangan tempahan.


Berikut ialah petikan kata pengantar Anwar Ibrahim.


Berbeza dengan sistem parlimen di India, Indonesia, United Kingdom dan Australia, ahli-ahli Parlimen di Malaysia tidak diperuntukkan dengan pegawai penyelidik. Justeru, penubuhan Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) sebagai sebuah pasukan penyelidikan yang digerakkan oleh saudara Ooi Heng dan sekumpulan anak-anak muda yang komited dalam membantu urusan penyelidikan dan penyediaan maklumat sebagai dukungan terhadap peranan wakil-wakil rakyat pembangkang sewajarnya dihargai dan dimanfaatkan sebaiknya. Komitmen mereka sememangnya bererti dalam memudahcara tugas serta tanggungjawab seseorang wakil Parlimen yang secara umumnya berperanan untuk menggubal undang-undang dan juga dasar yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.


Parlimen seharusnya menjadi “gelanggang” rasmi di mana segala bentuk perbincangan, perbahasan dan persetujuan melibatkan dasar negara termasuk aliran keluar masuk wang awam dikawal selia secara telus dan terbuka. Dalam erti kata lain, Parlimen bukan sekadar platform untuk perbahasan dasar-dasar yang berkait dengan kepentingan rakyat, bahkan seharusnya ia bersifat luwes yakni berupaya berperanan sebagai pemantau yang menjadi penimbang tara kepada ketelusan pentadbiran kerajaan yang memerintah.

Monday, 17 September 2012

TOKOH TELADAN


TG Nik Abdul Aziz dan Mauizhah

Ustaz Zainudin Hashim,18 Sep 2012
(TG Nik Aziz menerima anugerah Tokoh Pendidik Nusantara)

Setinggi-tinggi Tahniah kepada Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, kerana telah dinobatkan sebagai ‘Tokoh Pendidik Nusantara’ pada majlis anugerah di Shah Alam, 8 September 2012.

Sebenarnya Tuan Guru bukan hanya layak bergelar pendidik atau murabbi, malah seorang yang komited dengan apa yang disampaikan, sama ada melalui kuliah-kuliah rohani, tulisan beliau secara langsung atau tidak langsung.

Tulisan beliau mampu memikat golongan pendengar dari dalam dan luar negara termasuk golongan seniman seperti penulis novel Ayat-ayat Cinta, Dalam Mihrab Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih (KCB) iaitu Habiburrahman Siraji dan juga para pelakon utama KCB iaitu Kholidi Asadil Alam dan Oki Setiana Dewi yang pernah bertandang ke Kelantan dan mengikuti kuliah pagi Jumaat beliau.

Penulis begitu yakin bahawa Tuan Guru tidak senang dengan pujian melambung yang diberikan ke atas dirinya, kerana pujian tersebut tidak memberi makna sedikitpun di dunia mahupun akhirat jika tidak menyusuli dengan tindakan positif.

Ini jelas daripada kenyataan beliau seusai ditabalkan sebagai tokoh pendidikan, di mana beliau menegaskan bahawa apa ertinya seorang manusia itu diberi penghormatan di dunia, tetapi menghadapi siksaan kubur.

Tegas beliau lagi, apa ertinya di dunia bagi seorang yang cerdik, tetapi tidak berjaya mendapat kehidupan bahagia di dalam syurga.

Firaun, Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain adalah golongan cerdik tetapi kesudahan mereka menetap di dalam neraka, ini kerana mereka buat cara mereka sendiri dengan tidak mengikut cara yang diperkenalkan oleh baginda s.a.w.

Secara peribadi ingin penulis nyatakan di sini, bahawa Tuan Guru adalah seorang pendidik/murabi yang sangat berkesan dalam setiap kesempatan yang diberikan kepadanya, malah penampilan dan cara hidupnya yang sederhana juga memainkan peranan yang sangat penting untuk menambat hati manusia yang cintakan kebenaran, bukan sahaja dalam kalangan orang-orang Islam, malah turut disegani dan dihormati oleh mereka yang bukan Islam. Inilah rahsia kejayaannya dalam mengekalkan Kelantan berada di bawah penguasaan PAS.

Tuan Guru dan kepimpinan

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik dalam segenap aspek kehidupan ummah hingga ke hari akhirat, baginda bukan sahaja menitik-beratkan persoalan kepimpinan negara dengan ‘Siyasah Syar’iyyah’, iaitu konsep Khilafah Islamiyyah yang merupakan teras seperti yang ditegaskan Allah dalam al-Quran.

Pada masa yang sama baginda mengurus tadbir negara dengan sistem pemerintahan Islam, baginda tidak menyisihkan aspek mauizhah/bimbingan/tarbiyyah, kerana hati-hati manusia perlu dipaut dengan elemen kebenaran, kerana merekalah yang menjadi pendukung tegar bagi merealisasikan kebenaran al-Quran dan ajaran Islam yang lain.

Rasanya jika penulis mahu mencatatkan sebahagian besar mauizhah yang disampaikan baginda sepanjang bergelar pemimpin dan murabbi, maka ruangan muhasabah ini tidak mampu untuk menyatakan semuanya, walau bagaimanapun penulis cuba membuktikan antara pendekatan mauidzah baginda dalam memandu para sahabat dan ummah untuk sampai kepada maksud perubahan total nilai-nilai kemanusiaan.

Syeikh Sa’id Hawwa dalam bukunya ‘Al-Islam’ pada halaman 13 juzuk ke-4, ada menukilkan sebuah hadis baginda s.a.w. yang bermaksud berdasarkan satu pertanyaan baginda kepada sahabat-sahabatnya :

“Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika terdapat dalam kalangan wanita (dalam kalangan kamu) yang melakukan perkara sumbang (tarhadap Allah dan Rasul-Nya), golongan remaja melakukan sesuatu yang menjurus kepada amalan fasiq dan kamu meninggalkan jihad?.

"Para sahabat bertanya, wahai Rasulullah: Apakah perkara seumpama itu berlaku (dalam kalangan kami) duhai Rasulullah? Ya, demi sesungguhnya nyawaku di tangan (Allah), perkara yang lebih buruk daripada itu akan berlaku, apakah perkara yang buruk itu wahai Rasulullah?.

"Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika perkara yang makruf itu kamu lihat sebagai perkara yang mungkar dan sebaliknya perkara yang mungkar itu pula kamu lihat sebagai perkara yang makruf? para sahabat bertanya, wahai Rasulullah : Apakah perkara seumpama itu berlaku (dalam kalangan kami) duhai Rasulullah?

"Ya, demi sesungguhnya nyawaku di tangan (Allah), perkara yang lebih buruk daripada itu akan berlaku, apakah perkara yang buruk itu wahai Rasulullah?. Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika kamu suruh/subur-suburkan yang mungkar dan kamu cegah pula yang makruf."

Pembaca sekalian,
Sesungguhnya persoalan di atas bukan terbit daripada seorang ustaz yang menyampaikan kuliahnya di masjid atau surau, akan tetapi kenyataan di atas terbit dari seorang pemimpin negara yang amat prihatin dengan permasalahan rakyatnya, untuk memimpin mereka ke jalan kebenaran menuju Allah SWT.

Dengan lain perkataan baginda ingin mengeluarkan manusia dari penyembahan berhala dan manusia kepada penyembahan Tuhan segala manusia dalam gambaran aspeknya yang luas dan menyeluruh, termasuk soal ibadat, ekonomi, sistem kewangan, politik, institusi kemasyarakatan dan banyak lagi.

Tidakkah baginda Rasulullah seorang pemimpin nombor satu negara? Tetapi mengapakah baginda menitik-beratkan aspek mauizhah/tarbiyyah? Ini tidak lain kerana hati-hati manusia sering lalai daripada mengingati kebesaran Tuhan mereka lantaran pencapaian aspek kebendaan yang menjauhkan mereka daripada Allah SWT.

Justeru, sebagai umat Islam dan hamba Allah yang serba kerdil dan tidak sempurna ini, kita perlu mendaulatkan kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w. dalam segenap aktiviti harian hidup kita yang tercatat dalam kitab-kitab Sirah Nabawiyyah yang muktabar bagi mengembalikan kemulian dan keagungan Islam di persada alam ini, kerana sesungguhnya Sirah Nabi itu adalah pelaksanaan Islam secara praktikal.

Tuan Guru Menteri Besar, bukan sahaja menerajui kepimpinan negeri dengan acuan Islam, malah pada masa yang sama sentiasa bertindak mencontohi baginda Rasulullah s.a.w. dengan menyampaikan segenap ajarannya secara praktikal, maka pada pagi Jumaat, beliau akan menyampaikan kuliah bertujuan untuk menyedarkan rakyatnya kepada Islam dalam segenap pendekatan dan dimensi Islam.

Beliau juga mahukan agar kepimpinan negeri yang menjadi cabinet pentabiran negeri juga adalah terdiri daripada mereka yang memiliki hati nurani yang sentsitif dengan elemen Islam, mengapa demikian?
Kerana bagaimana mungkin Islam akan dapat didaulatkan jika para pemimpin tidak menjadi golongan pengamal malah menjadi pelampau agama. Inilah aspek yang sering menjadi keutamaan kepimpinan Tuan Guru yang meletakkan mauidzah dan tarbiyyah sebagai teras kejayaan kepimpinannya.

Di mana mauizhah dan tarbiyyah disebar-luaskan hingga mencakupi segenap bentuknya, iaitu:

Tarbiyyah Ruhiyyah
Tarbiyyah Aqliyyah
Tarbiyyah Nafsiyyah
Tarbiyyah Siyasiyyah
Tarbiyyah Akhlaqiyyah
Tarbiyyah Imaniyyah
Tarbiyyah Jasadiyyah dan bermacam-macam lagi yang tidak dapat disenaraikan semuanya.

(TG Nik Aziz menerima buku Mauizhah dari penerbitnya, Masri Abu Soed)

Bagi memastikan matlamat dan momentum penjenamaan negeri Kelantan dengan Islam, Tuan Guru sentiasa meletakkan ‘Mauizhah dan Tarbiyyah’ sebagai agenda utama kerajaan negeri, justeru di samping mengurus tadbir negeri, pada masa yang sama Tuan Guru meletakkan kepimpinan Rasulullah s.a.w. sebagai rujukan, iaitu di samping mentadbir, beliau juga menghasilkan bahan-bahan ilmiah yang terdiri daripada nukilan al-Quran, hadis dan Sirah Nabi serta pandangan sarjana Islam, antara hasil karya Tuan Guru:

1- MAUIZHAH
2- Tafsir Surah-surah Pilihan
3- Muhammad Bukan Nasionalis
4- Bertemu Janji Allah
5- Ingatlah Tempat Kamu Di Akhirat
6- Muhammad s.a.w. Insan Teladan Sepanjang Zaman
7- Muhammad s.a.w. Jejak Junjungan Mulia
8- Taqwa
9- Asmaul Husna
10- Air Mata Di Mahsyar
11- Menjelang Turunnya Wahyu
12- Tazkiyah Jiwa dan Nafsu dan banyak lagi

Sesungguhnya pemilihan dan penabalan YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘Tokoh Pendidik Nusantara’ sebagai satu pengiktirafan bahawa seorang pendidik tidak sahaja duduk di sekolah, masjid atau surau menyampaikan ilmu, maklumat dan kefahaman, akan tetapi pendidik juga mempunyai peranan yang lebih besar dalam mendidik rakyat dengan Islam untuk menuju keselamatan sebenar di dunia dan akhirat.

Ia sesuai dengan makna Islam itu sendiri iaitu menjamin keselamatan total daripada Allah SWT, mudah-mudah Kelantan salah satu negeri di Malaysia menepati piawaian ayat 15 surah Saba’ yang bermaksud: “Negeri yang baik, Tuhan (bersedia) mengampunkan rakyat-rakyatnya.”

Sunday, 9 September 2012

SANG SAKA TANAH MELAYU


Dua jalur fikrah
  • Hishamuddin Rais
  • 10:35AM Sep 10 2012
 
Bulan Ogos tahun lalu, wacana Mat Indera telah dibuka luas. Tohmah dan fitnah bertaburan. Kutukan demi kutukan. Tuduhan demi tuduhan. Polis dan undang-undang dicari dan diupah. Akhirnya Mat Indera menjadi ikon anak-anak muda. Imej Mat Indera kini setaraf dengan imej Che Geuvera dan John Lennon. Akhirnya anak semua bangsa mula mengenali siapa dia Mat Indera.

Sebenarnya apa makna semua ini? Apa makna babak-babak bulan Ogos ini? Apa yang hingar dan apa pula yang bingar ini? Pasti ada di kalangan pembaca menjadi kalut apabila berhadapan dengan wacana ini. Pasti ada juga yang kurang arif untuk memahami tanda dan makna wacana ini.

Saya tidak akan menyalahkan pembaca jika tidak memahami sepenuhnya makna dan tanda dan heboh heboh tentang Mat Indra. Heboh tentang Sang Saka. Heboh tentang Memula Moon. Saya akan cuba menyusun kembali fakta dan salasilah sejarah agar kita sesama memahami apa yang sedang berlaku. Saya akan cuba leraikan rambut yang kusut dengan minyak sejarah.

Semua yang berlaku sekarang ini adalah perjalanan sejarah. Di hadapan mata kita ialah manifestasi perjalanan sejarah yang belum selesai. Perjalanan sejarah yang terbantut. Perjalanan sejarah yang belum selesai ini ialah perjalanan ‘nasionalisma Tanah Melayu' yang terbantut. Ertinya perjuangan nasionalisme Melayu tidak sampai ke matlamat yang dicita-citakan

Biar saya terangkan apa makna - semangat nasionalisme yang belum selesai - yang tidak sampai ke matlamat. Nasionalisme Melayu tidak kesampaian - tidak sampai ke puncak yang dicita-citakan. Terbantutnya cita-cita untuk mendirikan negara bangsa yang bebas Merdeka.

Nasionalisme ialah semangat, perasaan dan laungan warga Asia, Afrika dan Latin Amerika menentang penjajah. Semangat dan kesedaran nasionalisme muncul di era pertembungan anak tanah jajahan dengan kuasa kolonial. Penjajah dilihat sebagai ‘Yang Asing' atau "Orang Lain'.

Kalau di Tanah Melayu pertembungan ini pada awalnya ialah antara manusia Melayu dengan kuasa kolonial - Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun. Justeru nama-nama seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Raja Haji, Dol Said dan Maharaja Lela muncul di tinta sejarah. Mereka dinobat sebagai pemula gerakan kesedaran untuk melahirkan ‘ingatan bersama bahawa kita sesama kita adalah Melayu. Mereka yang ‘diluar sana' ialah Orang Putih.

Kuasa kolonial datang untuk mencari harta kekayaan. Portugis yang dipanggil Bengali Putih datang sebagai penjajah untuk mencari rempah rampai. Belanda juga datang untuk tujuan sama. Inggeris datang untuk bijih timah dan emas. Jepun datang untuk memunggah apa saja yang boleh dipunggah.

Nasionalisme Melayu ini adalah asas nasionalisme untuk Tanah Melayu/ Malaya - ini termasuk Singapura. Tidak menerima hakikat ini bermakna tidak menerima hakikat realpolitik di hadapan mata. Nasionalisme Melayu yang luas ini telah dimanifestasikan dalam Perlembagaan Rakyat 1947. Dokumen bersejarah ini telah bersedia menerima sesiapa sahaja yang bercita menjadikan Tanah Melayu sebagai negara mereka. Negara baru ini akan menobatkan mereka sebagai Melayu. Ini satu dokumen yang amat radikal.

Orang India dan orang Cina yang dibawa oleh penjajah Inggeris pada awalnya tidak melihat bumi Melayu ini sebagai wilayah mereka. Mereka datang kerana dibawa oleh British atau kerana mahu mencari makan. Ini sikap budaya generasi imigran pertama. Masa dan luang telah mengubah semua ini. Akhinya para pendatang ini telah sebaris bangun menentang kuasa kolonial. Perlembagaan Rakyat memanifestasikan permulaan kelahiran setiakawan bangsa-bangsa untuk sebuah negara bangsa yang berdaulat.

Tetapi projek Perlembagaabn Rakyat 1947 ini telah disabotaj oleh kuasa kolonial British. Dengan licik British telah memayungi satu gerombolan kaum feudal Melayu bersama anak didik kolonial untuk mengagalkan terdirinya Tanah Melayu yang merdeka.

Usaha mensabotaj Malaya Merdeka dilakukan dengan membangunkan parti-parti politik yang berasaskan kaum. Setiakawan bangsa-bangsa yang terjalin dalam Perlembagaan Rakyat untuk melahirkan sebuah Malaya Merdeka telah dialih untuk menjadi ‘perjuangan antara kaum'. Politik perkauman menjadi satu strategi yang amat ampuh untuk memisah-misah rakyat yang sedang bangun bersatu melawan kuasa kolonial.

United Malays National Organistion hanya dimunculkan pada tahun 1946. Kesatuan Melayu Muda (1938) Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945), Angkatan Pemuda Insaf (1946), Parti Komunis Malaya (1930) telah berjuang berdekad-dekad lebih awal. United Malays National Organisation hanya berslogankan - Hidup Melayu. Manakala parti nasionalis yang lain melaungkan Merdeka!

Memunculkan parti-parti perkauman ini adalah taktik penjajah. Hasilnya British telah berjaya menangguhkan ombak merdeka selama 10 tahun. Melambatkan merdeka ini telah membolehkan British menyusun para budak-budak suruhan yang setia untuk memastikan kepentingan ekonomi British selamat. Jelas di sini United Malays National Organisation telah dipilih untuk menggantikan pentabiran British.

Parti politik dan kumpulan nasionalis yang enggan bekerja sama dengan British telah ditangkap, dibuang negara atau di bunuh. Parti-parti politik dan organisasi massa yang menentang British telah diharamkan. Yang boleh beroperasi, berkempen mencari pengaruh hanyalah United Malays National Organisatiojn, Malayan Chinese Associatioan dan Malayan Indian Congress. Perhatikan dengan teliti - hingga ke hari ini setelah 55 tahun merdeka parti politik ini masih lagi menggunakan nama Inggeris untuk gerombolan mereka.

Selama 55 tahun United Malays National Organsiation telah cuba menutup hakikat bahawa mereka mula berjuang hanya pada tahun 1946. Ini pun bukan berjuang menuntut kemerdekaan. United Malays National Organisation berjuang mencari tambahan oksigen kerana slogan mereka hanyalah Hidup Melayu dan bukan menentang British.

Apa maknanya apa yang saya tulis diatas? Maknanya ialah nasionalisme Melayu untuk mencapai kemerdekaan telah disabotaj oleh British dengan kerjasama United Malays National Organisation. Nasionalisme Melayu dibantutkan. Semangat nasionalis Melayu diganti dengan semangat perkauman. Akhirnya slogan Hidup Melayu beralih menjadi Ketuanan Melayu.

Apabila British mengundur pada tahun 1957 - kuasa kolonial British masih meneraju Tanah Melayu. Ketua Hakim Negara - James Beveridge Thomson 1963-1966 seorang Mat Saleh. Gobenor Bank Negara W H Wilcock 1959- 1962. Ketua Polis Negara - Claude Fenner 1958 - 1966 masih lagi seorang Mat Saleh.

Ramai yang tak sedar tentang pekara ini. United Malays National Organistaion cuba menyorokan fakta sejarah ini. Jika umum tahu maka orang ramai akan sedar bahawa United Malays National Organisation hanyalah budak suruhan British untuk menjadi benteng British yang sedang diasak oleh perjuangan bersenjata nasionalis Malaya yang bermula pada 20 Jun 1948.

Juasteru sebagai budak suruhan - tidak ada seorang pun antara pemimpin atau ahli United Malays Natiopnal Organsiation yang ditangkap, dibuang negara atau di bunuh oleh Briritsh. Malah selama 55 tahun ini naratif perjuangan mereka ialah melawan komunis. Walhal Parti Komunis Malaya adalah parti yang nengangkat senjata melawan British.

Pembohongan sejarah ini akhirnya terlungkup. Contohnya, dengan maklumat yang sedia ada umum kini sedar bahawa lagu Negaraku didakwa ciplakan. Tidak dapat disorokkan lagi bahawa terdapat dakwaan Memula Moon ialah lagu Terang Bulan yang dijadikan lagu kebangsaan Malaysia. Ini fakta sejarah.

Tiba-tiba akhir bulan Ogos ini timbul pula wacana Sang Saka. Ramai yang kurang sedar bahawa bendera gerombolan United Malays National Organistion juga berasal usul dari Sang Saka. Adalah fakta sejarah bahawa pada Perhimpunan Agung United Malays National Organisation tahun 2006 dahulu bendera ini telah dinobatkan sebagai Sang Saka Bangsa.

Apa sebenarnya sejarah Sang Saka ini? Bendera ini dikatakan muncul seawal zaman Langkasuka. Seawal zaman Srivijaya. Seawal zaman Majapahit dan Mataram. Warna merah puteh ini adalah motif Nusantara. Motif alam Melayu. Merah adalah darah rakyat. Putih ialah kesucian hati rakyat.

Sayugia diingatkan di sini - bendera Sang Saka Tanah Melayu ini memiliki sejarah yang gilang gemilang. Sang Saka ini bukan diciplak dari bendera Amerika. Sang Saka lahir dari bumi Melayu - lahir dari bumi Nusantara.

Bendera ini telah dibawa ke persidangan Afro-Asia di New Delhli pada tahun 1947. Bendera ini adala payung untuk para nasionalis Melayu sama ada dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda, API atau AWAS.

Pada perjumpaan semua pertubuhan Melayu pada tahun 1946 di Ipoh - Sang Saka telah dicadangan untuk menjadi bendera rasmi United Malays National Organisation. Ia diterima tetapi keris dan warna kuning telah dimasukan ke dalam motif Sang Saka. Ini telah dibantah oleh PKMM - yang dipimpin oleh Pak Sako dan Ahmad Boestamam. Mereka yang anti-Britsih dan anti feudal telah meninggalkan dewan. Kuning/keris secara semiotik dibaca sebagai nahu feudal dalam gerakan nasionalisme Melayu.

Mereka yang membantah simbol ini telah meneruskan perjuangan dan tidak bersama United Malays National Organisation. Akhirnya mereka menjadi mangsa British - ditangkap dan dibunuh - apabila British mengistiharkan darurat pada 20 Jun 1948.

Justeru adalah satu kebebalan jika menuduh Sang Saka berasal dari China, dari Singapura, atau meniru bendera Indonesia. Sang Saka ini telah wujud dalam kesedaran nasional berpuluh tahun dahulu. Ia telah cuba dilupuskan dari ingatan bersama.

Menggunakan ancaman. Menakut-nakutkan orang ramai. Menggunakan mahkamah. Menggunakan penjara dan hukuman tidak akan memadamkan api kebenaran. Penghormatan bukan diwujudkan melalui hukum hakam. Penghormatan lahir dari hati suci dan jiwa merdeka.

Justeru, Janji Demokrasi pada 30 Ogos 2012 mengembalikan Sang Saka ke persada sejarah. Ini adalah manifestasi kesinambungan sejarah nasionalisme yang telah dibantutkan. Anak-anak muda yang mengibarkan Sang Saka pada malam itu sedang menyambung kembali ingatan sejarah tentang perjuangan para nasionalis melawan British. Sang Saka yang berkibar hari ini sedang membawa semangat pembebasan. Bangsa yang tidak tahu dari mana asal usul mereka pasti tidak akan tahu ke mana arah tujuan mereka .