Thursday, 25 October 2012

BUKU KEBANGKITAN RAKYAT ALQARADHAWI


Yusuf al Qaradhawi as a Public Intellectual

BUKU ’KEBANGKITAN RAKYAT” MENGANGKAT YUSUF AL QARADHAWI SEBAGAI ‘ULAMA RAKYAT’
Pendahuluan
Di dalam dunia kontemporari ini diiringi dengan gelombang kebangkitan Islam di seluruh dunia, membaca karya-karya Yusuf al Qaradhawi merupakan satu tuntutan intelektual. Kehebatan dan keikhlasan pemikiran beliau dapat ditelusuri dan dirasai pada setiap penulisannya. Setelah membaca buku terkini beliau dalam kedua-dua versi Bahasa Arab dan terjemahannya, penulis dapat menyimpulkan bahawa buku ”kebangkitan Rakyat’ atau ’Revolusi Rakyat’ ini seumpama melengkapkan bukti dan fakta betapa Yusuf al Qaradhawi boleh digelar sebagai ’ulama rakyat’.

Buku “Thaurah Sha’ab”
Sinopsis Buku
Membaca buku ’kebangkitan rakyat’ ini adalah tidak sempurna sekiranya tidak menelaah karya-karya Yusuf al Qaradhawi yang lain. Kesinambungan pemikiran beliau hanya akan difahami secara menyeluruh sekiranya kita dapat membaca tulisan-tulisannya sebelum ini dan ini merangkumi penulisan beliau dalam aspek fiqh, politik, pengalamannya dengan Ikhwanul Muslimin, sejarah hidupnya, perjuangan, ibadah, jihad, dakwah dan lain-lain. Buku Fiqh al Jihad sebuah ensiklopedia mengenai aspek jihad sememangnya harus dirujuk bagi melengkapkan kefahaman yang dijana melalui buku ’Kebangkitan Rakyat’ ini. Pada penulis, Yusuf al Qaradhawi bolehlah dianggap sebagai ensiklopedia Islam kontemporari yang menyoroti zaman dan masa.
Penulis memilih terjemahan ’Kebangkitan Rakyat’ berbanding ’Revolusi Rakyat’ walaupun perkataan ’thaurah’ itu lebih dekat dengan terjemahan ’revolusi’ kerana kandungan perbincangan yang terdapat dalam buku ini bukan sahaja merujuk kepada revolusi tetapi membicarakan hal ehwal kebangkitan rakyat. Secara umumnya, buku ini mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi himpunan keterangan, khutbah, fatwa, seminar berkaitan kebangkitan rakyat Mesir oleh Yusuf al Qaradhawi. Bahagian kedua pula melampirkan laporan berita, tulisan-tulisan tokoh, pendakwah, wartawan dan lain-lain. Bahagian pertama merupakan bab yang paling penting di mana ianya menampilkan pemikiran Yusuf al Qaradhawi dalam menunjangi kebangkitan rakyat. Setiap kenyataan, fatwa dan khutbah beliau sentiasa dan konsisten bersama rakyat. Beliau sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi memartabatkan kebangkitan rakyat.
Bahagian kedua seumpama mengiktiraf ketokohan Yusuf al Qaradhawi melalui tulisan-tulisan tokoh, wartawan dan lain-lain. Walaupun dikritik, dikecam, ditohmah dan bermacam-macam lagi, Yusuf al Qaradhawi terus dengan agendanya menegakkan keadilan dan membela hak rakyat. Ini diakui dan diiktiraf oleh ramai pihak sehinggakan pihak zionis Israel pun mengakui ancaman dan pengaruh beliau di dunia seperti yang tertera di dalam laporan khas oleh Jerusalem Centre for Public Affairs sebuah organisasi ’think-thank Israel’ bertajuk ’Report of Israeli Think-Tank on the Global Muslim Brotherhood’. Pada penulis, tulisan dan kenyataan yang dilampirkan dalam bahagian dua ini boleh juga dianggap sebagai testimoni betapa besarnya pengaruh pemikiran Yusuf al Qaradhawi kepada dunia umumnya dan masyarakat Islam khususnya.
Bermanfaat juga untuk menyebut perbezaan dan kelainan buku ”Kebangkitan Rakyat’ dengan karya Yusuf al Qaradhawi yang lain dan juga dengan buku nukilan ulama lain yang sezaman dengannya. Antara kelainan buku ini dengan yang lain ialah walaupun mengandungi pandangan beliau dari aspek fiqh dan hukum, ianya juga mengetengahkan pemikiran beliau dari sudut politik semasa. Ini menggambarkan keprihatinan dan betapa sensitifnya beliau dengan apa sahaja isu yang melibatkan umat. Beliau dalam buku ini secara khusus menjawab segala persoalan mengenai kebangkitan rakyat yang beliau namakan sebagai fiqh revolusi. Bukan itu sahaja, beliau juga menyatakan pendirian keluarga terhadap revolusi dan berkongsi pengalaman dan maklumat mengenai interaksinya dengan pimpinan-pimpinan Arab. Jarang-jarang Yusuf al Qaradhawi berbicara mengenai keluarganya,lebih-lebih lagi maklumat mengenai anak-anaknya yang terlibat secara langsung dengan revolusi rakyat ini. Anak lelaki beliau, Abdul Rahman Yusuf seorang penyair dan cenderung kepada seni dan kesusasteraan yang sangat giat serta terlibat dengan kebangkitan rakyat kini dikenali sebagai ‘penyair revolusi’. Buku ini juga pada penulis selain dari ”Aku dan Ikhwan Muslimin’ merupakan karya beliau yang paling beremosi melibatkan perasaan dan semangat untuk melihat kebangkitan umat. Khutbah, sumpah, tangisan, semangat, ucapan yang berkobar-kobar dengan penuh beremosi yang terkandung dalam buku ini mencerminkan betapa karya ini begitu penting untuk kita hadami dan hayati.
Ulama Rakyat dan ’Public Intellectual’
Edward Said seorang pemikir hebat sebaris dengan intelektual dunia yang lain adalah antara sarjana yang mempopularkan istilah ’public intellectual’ seperti yang terkandung dalam siri syarahannya di Universiti Colombia dan bukunya ’the Legacy of the Public Intellectual’. Setelah merenung istilah yang secara umumnya diterima oleh dunia akademik ini, penulis berpandangan bahawa istilah ini sebenarnya juga merujuk kepada terminologi yang ingin penulis ketengahkan di sini iaitu ‘ulama rakyat’. ”Ulama rakyat’ ataupun apabila seorang sarjana itu mencapai makam ’public intelectual’ adalah berbeza dengan sarjana atau cendiakawan biasa. Sememangnya terdapat ramai ilmuan, cendiakawan, sarjana yang mahir dan pakar dalam disiplin ilmu tertentu tetapi perkara ini belum tentu melayakkan mereka digelar sebagai ulama rakyat atau ‘public intellectual’.
Dalam membezakan antara ulama rakyat dan ulama biasa ini, penulis tertarik dengan tulisan Russel Jacoby bertajuk ‘Big Brains, Small Impact’. Seorang sarjana walaupun sehebat mana tidak layak digelar ulama rakyat sekiranya pandangan dan pemikirannya hanya digunakan untuk meraikan pemimpin atau segolongan pihak sahaja. Mereka ini lebih layak digelar sebagai ulama upahan. Seorang ulama rakyat akan memastikan pemikirannya dapat dimanfaatkan seluas-luasnya kepada khalayak umum. Pada penulis seorang ulama rakyat yang hebat haruslah mempunyai ciri-ciri ‘Big Brains, High Impact’. Ulama rakyat akan mendedikasikan kehidupan dan kemampuan intelektualnya untuk masyarakat. Ulama rakyat akan sentiasa berdampingan dengan rakyat, berdiskusi, berdialog, berbicara, bergaul dengan segenap lapisan masyarakat serta sentiasa berusaha untuk menyelesaikan permasalahan umat. Ulama rakyat akan memastikan karyanya atau hasil intelektualnya dapat dimanfaatkan masyarakat. Ulama rakyat tidak akan tergoda dan akur dengan tawaran yang hanya akan merugikan kemaslahatan masyarakat.
Yusuf al Qaradhawi menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk manfaat umat. Diceritakan bahawa beliau selalu menghabiskan waktunya sehingga 14 jam sehari di perpustakaan rumahnya untuk menelaah dan menulis. Hingga kini, lebih daripada 120 buah buku telah dihasilkan walaupun beliau teramat sibuk dengan jadual harian. Beliau bukan sahaja menghasilkan penulisan akademik yang berkualiti tinggi dan menjadi rujukan utama ilmuan tetapi menyumbangkan pelbagai makalah di dalam pelbagai majalah dan akhbar harian di peringkat antarabangsa. Bukan itu sahaja, program televisyen ‘Al Shari’ah wa al Hayah’, ‘Nur Wa Hidayah’ dan ‘ Huda al Islam’ beliau adalah sangat popular mencecah 50-60 jutaan penonton di seluruh dunia. Sikap dermawan Yusuf al Qaradhawi juga tidak boleh dipertikaikan. Dilaporkan bahawa beliau telah mendermakan keseluruhan hadiah anugerah Dubai pada 2001 yang diterima sebanyak sejuta dirham kepada projek ‘Islam Online’ dan Yayasan Orang Buta.
Ulama rakyat sangat dekat di hati masyarakat. Yusuf al Qaradhawi menghabiskan banyak waktunya berdamping dengan masyarakat. Memberikan kuliah dan khutbah di masjid, menjadi imam, menjadi pengetua Maahad Agama dan pengasas kuliah pendidikan dan pengajian Islam di universiti. Beliau juga memberikan sumbangan dalam menentukan isi kandungan dan sukatan pengajian pendidikan di Qatar. Yusuf al Qaradhawi juga terlibat dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Kesibukan dan pengorbanan beliau menyumbang kepada masyarakat menjadikan Yusuf al Qaradhawi sentiasa dihormati dan dihargai oleh sebahagian besar umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Oleh itu tidaklah menjadi kehairanan apabila beliau telah dipilih untuk mengimamkan solat jenazah Abul A’la Al Maududi seorang lagi ulama rakyat yang dihadiri oleh lebih sejuta jemaah di Pakistan.
Yusuf al Qaradhawi merupakan ulama rakyat sejati. Antara faktor yang membezakan beliau dengan barisan ulama lain ialah terangkumnya ciri-ciri keilmuan dan kesarjanaannya dengan ruh gerakan Islam yang sebati dengannya. Beliau telah dipenjarakan beberapa kali iaitu pada 1949 setelah Ikhwanul Muslimin dikaitkan dengan pembunuhan Perdana Menteri Mesir, pada 1954 kerana perselisihan antara Ikhwanul Muslimin dan Dewan Revolusi pimpinan Jeneral Naguib dan pada 1956 dan kerana perselisihan antara Ikhwanul Muslimin dan Dewan Revolusi pimpinan Jeneral Jamal Abdul Nasser. Beliau pernah didera dan diseksa dan kesannya dirasai sehingga hari ini yang mempengaruhi kesihatan beliau. Beliau dituduh oleh musuhnya sebagai sesat, pengganas, pendokong Nazi dan Hitler dan sebagainya. Bahkan ada juga rakan-rakan dan sarjana lain yang membuat tuduhan melulu terhadapnya sehinggakan terdapat sahabat yang memutuskan hubungan semata-mata tidak bersetuju dengan pandangan beliau. Sebagai ulama rakyat dan ulama umat beliau tidak gentar dan takut dengan ancaman. Yusuf al Qaradhawi tidak dibenarkan masuk ke beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis. Walaupun diancam dengan pelbagai jenis ancaman sehingga ancaman bunuh,Yusuf al Qaradhawi tetap dengan pendiriannya. Dalam satu temuramah beliau dengan al Jazeera ketika ditanya oleh wartawan, apakah impian dalam hidupnya, beliau menjawab bahawa beliau ingin mati syahid ditangan musuh Islam. Begitulah hebatnya beliau dalam perjuangan.
Walau apa pun yang berlaku, walau cabaran dan halangan melanda, sebagai seorang ulama rakyat, beliau sentiasa konsisten dan memastikan pandangannya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Pemikiran beliau dipandu oleh al Quran dan al Sunnah. Musuh-musuh dan rakan-rakan yang menuduh beliau ada yang kini ditolak oleh rakyat, ada yang kini tidak dihormati oleh masyarakat. Tetapi Yusuf al Qaradhawi terus utuh malahan beliau semakin dihormati, disegani dan diangkat oleh masyarakat Islam sebagai ulama rakyat.
Fiqh Revolusi
Penulis mengakui bahawa istilah fiqh al mu’asir, fiqh al awliyat, fiqh al muwazanat, fiqh al muqaran, fiqh al jihad dan beberapa istilah yang lain dibiasakan melalui pembacaan karya-karya Yusuf al Qaradhawi. Boleh dikatakan hampir tidak sempurna mempelajari fiqh kontemporari sekiranya tidak merujuk dan membaca buku-buku beliau. Dengan memperkenalkan istilah fiqh revolusi atau ‘Fiqh al Thaurah’ di dalam buku ini, Yusuf al Qaradhawi sekali lagi telah mencetuskan persoalan dan kefahaman yang sangat penting untuk dimiliki oleh setiap umat Islam. Di kala kebangkitan umat sungguh dirasai pada waktu ini dengan tertumbangnya diktator-diktator yang pada satu waktu dahulu dianggap mustahil kejatuhannya, kefahaman terhadap fiqh revolusi sudah pasti menjadi satu tuntutan pada setiap individu Muslim.
Bersandarkan kepada terdapatnya fatwa-fatwa yang menyebelahi pihak yang zalim, pandangan-pandangan yang menolak kebangkitan rakyat, kenyataan yang masih mendokong rejim yang tidak adil termasuk beberapa institusi fatwa yang terang-terangan menyokong kemungkaran, Yusuf al Qaradhawi di dalam buku ini terus menyuarakan pandangannya yang menyebelahi rakyat dan keadilan. Beliau tidak takut hilang populariti dan tidak gentar dengan ancaman. Bahkan dengan kemampuan ilmunya beliau telah menyanggah pandangan sedemikiran secara ilmiah dengan tuntasnya. Hinggakan pandangan-pandangan atau fatwa-fatwa yang menyimpang ini tidak dapat menghindarkan lagi kebangkitan rakyat menolak kemungkaran dan ketidakadilan. Pandangan Yusuf al Qaradhawi ini adalah amat penting kerana gelombang kebangkitan rakyat pada waktu itu cuba dikelirukan dengan kenyataan badan-badan rasmi agama yang menolak demonstrasi jalanan secara aman. Dengan fatwa dan kenyataan beliau, gelombang kebangkitan rakyat diteruskan dan akhirnya berjaya menjatuhkan rejim zalim Husni Mubarak.
Antara elemen fiqh revolusi yang dibicarakan secara mendalam oleh Yusuf al Qaradhawi ialah keharusan untuk berdemonstrasi dan protes secara aman. Walaupun telah ada fatwa yang melarang rakyat untuk berdemonstrasi bersandarkan hujah bidaah, perbuatan yang terkeluar dari kaedah Islam, sadd al zarai’ dan lain-lain. Amat menarik pandangan Yusuf al Qaradhawi apabila beliau secara santai menjawab tohmahan ini dan menolak pandangan sedemikian. Dengan menggunakan kaedah masalih mursalah, perantaraan mempunyai hukum yang sama dengan tujuan, sadd al zarai’ dan dalil daripada al sunnah, Yusuf al Qaradhawi secara tuntasnya menyimpulkan bahawa demonstrasi jalanan dan protes secara aman adalah harus. Bahkan adalah berdosa besar kepada pihak berkuasa yang mencederakan pendemonstrasi ini dan beliau memberi amaran yang sangat keras kepada penzalim-penzalim ini.
Fiqh revolusi yang diketengahkan oleh Yusuf al Qaradhawi ini juga menampilkan strategi dan kebijaksanaan beliau. Beliau sama sekali tidak mengambil jalan berkonfrontasi dengan semua pihak, jauh sekali pendekatan kekerasan. Yusuf al Qaradhawi secara berperingkat memberikan mesej yang amat penting dan jelas kepada umat Islam seluruh dunia, rakyat umum, pihak berkuasa tentera dan polis, Husni Mubarak dan pimpinan lain, pemuda dan belia Mesir, pihak berkepentingan dan agensi antarabangsa dan badan-badan politik, ulama dan sarjana dan seterusnya pelajar-pelajar beliau. Yusuf al Qaradhawi membangkitkan gelombang rakyat ini dengan menyampaikan mesej-mesej Islam secara berhikmah dan berkesan kepada segenap lapisan masyarakat. Akhirnya, dianggarkan kehadiran seramai sekitar 18 juta orang di Dataran Tahrir dan di seluruh Mesir pada 25 Januari 2011 yang menyambut kemenangan kebangkitan rakyat.
Penutup
Tanggungjawab atau mas’uliah dalam menggerakkan kebangkitan umat terletak pada setiap individu Islam. Usaha mengembalikan kegemilangan Islam ini tidak akan mendapat natijahnya secara optimum melainkan ianya disertakan dengan kemampuan intelektual dan dilaksanakan secara kolektif. Keberkesanan apa saja gerakan kebangkitan umat ini juga amat bergantung pada tahap pemikiran dan tasawwur masyarakat. Dalam konteks masyarakat moden hari ini dengan perkembangan teknologi, peredaran zaman dan masa, fenomena globalisasi serta cabaran dan halangan musuh Islam, mahu tidak mahu, umat Islam mesti bangun dan bangkit serta bersiap sedia untuk bersama-sama dalam arus gelombang kebangkitan umat.
Melihat perkembangan dan gelombang kebangkitan Islam di seluruh dunia seperti di Tunisia, Libya, Mesir dan lain-lain Negara, sesungguhnya kita sebagai individu Muslim mesti memastikan untuk dapat bersama-sama di dalam arus perdana ini. Kita sewajibnya menyertai atau sekurang-kurangnya bersama-sama terlibat dalam gelombang kebangkitan ini. Dalam proses menuju ke arah mengembalikan kegemilangan Islam ini, sudah tentunya kita memerlukan panduan dan bekalan terutamanya dari aspek intelektual dan mental. Dalam hal ini, kita beruntung kerana kita berpeluang untuk merujuk dan menikmati karya-karya penting Yusuf al Qaradhawi, seorang ulama rakyat, ulama umat yang sentiasa konsisten mengangkat martabat umat dan ikhlas memperjuangkan keadilan.
Nota: Untuk mendapatkan naskhah buku ‘Kebangkitan Rakyat’ boleh hubungi:
Sekretariat ABIM Pusat
No. 6, Jalan TC 2A/2
Taman Cemerlang
53100 Kuala Lumpur
Tel: 019-2881300 / 03 – 4108 4500 Fax: 03–4108 2400
Email: sap@abim.org.my
Harga: RM22
Best Regards
Zulkifli Hasan

Masjidil Nabawi, Madinah al Munawwarah

Wednesday, 24 October 2012

BUKU FIKIR


Menjadi Islam dengan Berfikir

OLEH HAFIZ ZAINUDDIN
28 Januari, 2011 | kategori Buku | komen [6] | Cetak | kongsi    
Tuhan, aku menghadap padamu bukan hanya di saat-saat aku cinta padamu, tapi juga di saat-saat aku tak cinta dan tidak mengerti tentang dirimu, di saat-saat aku seolah-olah mau memberontak terhadap kekuasaanmu. Dengan demikian Rabbi, aku berharap cintaku padamu akan pulih kembali. (Ahmad Wahib-Catatan Harian)
Saya mengenali Ahmad Wahib di sebuah petang yang mendung semasa berada di kompleks PKNS Shah Alam sekitar tahun 2008. Ketika itu saya melalui sebuah gerai buku. Leret mata liar saya tertumpu pada sebuah rak putih yang penuh dengan buku yang pada kulitnya tercetak kata-kata yang memukau “Tuhan bukan tempat terlarang bagi pemikiran”. Lantas saya memegang buku tersebut, membelek. Konon-kononnya ghairah. Buku berjudul Pergolakan Pemikiran Islam : Catatan Harian Ahmad Wahid saya miliki tanpa berfikir lama..
Ahmad Wahib yang melabelkan dirinya  “bukan nasionalis, bukan katolik, bukan sosialis, bukan buddha, bukan protestan, bukan westernis, bukan komunis…bukan humanis” telah pergi meninggalkan kita selama-lamanya pada sebuah malam di bulan Mac 1973. Beliau telah dilanggar oleh sebuah motorsikal  dihadapan pejabat majalah Tempo tempat dimana beliau bekerja sebagai calon wartawan. Buku setebal 355 mukasurat ini asalnya merupakan helaian-helaian catatan harian Ahmad Wahib yang ‘diselamatkan’ teman akrab beliau sejurus beliau meninggal dunia. Bukan seperti catatan-catatan “diari sorang lelaki ” yang lain.
Buku ini telah terbit buat pertama kalinya pada tahun 1981 di Indonesia oleh Pustaka LP3ES. Edisi Bahasa Malaysia pula ialah pada tahun 2007 terbitan MEGC dengan kerjasama Konrad Adenaur Stiftung. Secara umumnya, saya mentakrifkan buku ini sebagai rangkulan pengalaman dan kesimpulan panjang idea-idea liberalisasi. Catatan-catatan ini memuatkan pandangan peribadi Ahmad Wahib yang kritis dan sinis sepanjang pergulatan beliau dengan teman-teman jemaahnya, masyarakatnya, budayanya, agamanya, tuhannya malah hampir seluruh hidupnya.
Pemikiran Luar Kotak
Catatan dari Jogjakarta oleh HA. Mukti Ali pada 1981 mengakui dalam Lingkaran Diskusi, Ahmad Wahib sering menimbulkan pendapat-pendapat yang tidak biasa didengar orang dan kebanyakan hal yang ditulis oleh beliau membuatkan orang akan ‘berkerut dahi’. Pemikiran beliau ‘di luar kotak’ atau ‘di luar jendela’ apa adanya. Mukti Ali mengakui pendapat dan pertanyaan almarhum Ahmad Wahib ini amat menggoda dan mengesankan fikiran kita. Benar kata Wahib “Saya ingin menjadi Muslim yang baik dengan selalu bertanya.”
Buku ini telah dibahagikan kepada empat bahagian utama. Perkara-perkara yang disentuh antara lain  usaha beliau menjawab masalah yang timbul dalam ruang beragama, politik dan kebudayaan Indonesia, bidang keilmuan dan kemahasiswaan dan yang terakhir sedikit sebanyak menyentuh peribadi beliau yang sentiasa gelisah.
Adakah ‘tuhan itu takut kepada akal yang tuhan ciptakan sendiri?’
“Tuhan bersifat wujud bukan untuk kebal dari sorotan kritik. Sesungguhnya orang yang mengakui berTuhan tapi menolak berfikir secara bebas beerti menghina rasional kewujudan Tuhan.”- Ahmad Wahib
Pendapat almarhum Ahmad Wahib dalam soal agama dilihat sebagai pandangan yang tajam dan nakal. Beliau sering menyentuh soal yang dasar dan taboo justeru mengajak yang lain untuk berfikir. Kebebasan agama dilihat sebagai kebebasan berpendapat bukan untuk dibatasi. Yang mendasari untuk segala pendapat beliau, adakah ‘Tuhan itu takut kepada akal yang Tuhan ciptakan sendiri?’ Keberanian Wahib dalam melontarkan pendapat dan persoalan meletakkan beliau sebagai manusia jujur.
Catatan-catatan yang dihimpunkan dalam buku ini mempamerkan Wahib sebagai pemikir radikal penuh inpirasi dan provokatif. Soal ‘nilai baru dan lama’ diukur dengan pembaris waktu. Menurutnya lagi masyarakat Islam harus keluar dari kongkongan feqah.Bagi Wahib; pembinaan hukum dari al-Quran dan Sunnah melalui ijmak bukan lagi waktunya kerana individualisme semakin berleluasa. Wahib berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu berkembang apabila nilai-nilai dalam masyarakat itu berkembang yang pada beliau membawa erti hukum juga berubah.
Kekangan ‘eksklusivisme’ dalam Idea Pembaharuan Islam
Ahmad Wahib mahukan organisasi-organisasi Islam bersifat mendidik bukannya menghukum.  Beliau menolak apa yang dipanggil “Ideologi Islam” kerana “Ideologi Islam” sama seperti ideologi-ideologi lain seperti sosialis, nasionalis maupun komunis. Pokok pangkalnya, idea Islam harus  sentiasa berkembang selari dengan perkembangan umat, budaya dan bersifat universal.
Suatu hal yang menyedihkan apabila keberadaan beliau dalam HMI dipandang sebagai “jaringan golongan luar tertentu” dari Jawa Tengah yang dilabel sebagai heterogenitas yang keterlaluan. Sampai masanya, Wahib dan temannya Djohan meninggalkan HMI dengan meninggalkan kepilan ‘rasmi’ terakhir iaitu “Memorandum Pembaharuan dan Kekaderan”. Sifat rigid HMI dalam menerima dan menilai idea pembaharuan umat dilihat Wahib sebagai musuh kepada kebebasan berfikir dan bertentangan dengan Islam itu sendiri. Apatah lagi  HMI masih kuat dengan pengaruh Masyumi yang dilihat cenderung menghukum dan bersifat formal.
Sarana Wahib dalam kehidupan peribadi beragama
Pada 18 November 1972 Ahmad Wahib telah menggariskan sebuah struktur umum dengan judul “Pembinaan Toleransi Beragama di Indonesia” berpokok pangkal dengan umat Islam Indonesia yang menetapkan beberapa poin utama iaitu mengenalpasti ‘sasaran toleransi’, mengenalpasti ‘sumber-sumber intoleransi’ dan ‘pembinaan toleransi beragama’. Seluruh dasar ini bertujuan mengarah kembali organisasi-organisasi agama agar merayakan perbezaan dan ‘menghormati hak pembinaan dan penerimaan rohani manusia yang bersifat peribadi’.
Kesenian, Kebudayaan, Intelektualisma dan kebekuan pemikiran umat
Selain itu Ahmad Wahib dilihat sangat berminat menyentuh berkenaan ketenteraan ABRI, demokrasi dan kaum intelektual Indonesia. Beliau banyak menyentuh dan memberi pendapat mengenai ‘kedudukan-posisi’ golongan intelektual ini sebelum dan selepas kemerdekaan, kedudukan kaum intelektual semasa dan pasca Soekarno, intelektual Muslim dan pertentangan yang timbul di antara golongan intelektual dan persekitaran lingkungan mereka.
Kebanyakan golongan intelek Muslim ini dilihat terikut dengan arus massa sehingga takut kehilangan pengikut. Musibahnya; umat Islam buta disebabkan kurang komunikasi yang mengakibatkan umat Islam menjadi terumbang-ambing, terlalu reaksioner dan dilihat streotaip. Untuk memperbaiki permasalahan yang dihadapi kaum intelektual Muslim ini; Wahib menyarankan agar mereka lebih banyak ‘hadir’ dalam banyak bidang dan meningkatkan “level of political culture” untuk membebaskan umat dari kelesuan dan kebekuan. Wahib cuba menyentuh sebanyak mungkin isu dan minat mendalamnya dalam agama, politik, kemasyarakatan maupun budaya. Beliau menjembatani antara kesenian dan sudut manusiawi.
Perjuangan dan Dakwah
Peribadi yang selalu gelisah dengan persoalan-persoalan dan kejujuran Ahmad Wahib dalam kritikan beliau terutama terhadap pemikiran golongan konservatif Islam jelas menunjukkan perjuangan beliau dalam membentuk gagasan-gagasan baharu yang bersifat rasional dan alami. Nama beliau lebih dikenali setelah meninggal dunia. Pemikiran beliau mencetus fenomena baharu dalam masyarakatnya. Walaupun penulis tidak menyamakan beliau dengan Djohan Effendy, Nurcholish Madjid maupun Abdulrahman Wahid; Apapun mereka antara orang yang merentas jalan liberalisasi dalam membudayakan ilmu dan agama. Pemergian Ahmad Wahib dalam pencariannya bukan noktah bagi anak-anak muda yang sehingga kini menjadikan catatan-cacatan beliau sebagai  rujukan dalam meneruskan dakwah.
*Hafiz Zainuddin merupakan seorang penulis bebas

Friday, 12 October 2012

Alquran Kalam Tuhan


Ulasan Buku: Pesan-pesan Terbesar Al-Quran

OLEH HAFIZ ZAINUDDIN
27 Julai, 2011 | kategori Buku | komen [1] | Cetak | kongsi    

Tajuk: Pesan-pesan terbesar Al-Quran
Penulis: Fazlur Rahman
Penerbit: Middle Eastern Graduates Centre (MEGC)
Penterjemah: Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, Ammar Gazali dan Khairul Anam Che Mentri

Buku ini merupakan sebuah kajian terperinci dan sangat berhati-hati yang hampir menyeluruh dalam membawa erti ‘penegasan semula inti ajaran Muhammad’ berdasarkan sejarah dan wahyu-wahyu langit.

Mungkin, kandungan buku ini mampu untukmemberi petunjuk nyata buat sebahagian besar kita yang memandang al-Quran cuma sekadarmukjizat terbesar (sumber hukum dan ideologi ummat: bukan hanya bersifat deskriptif semata-mata) bagi Muhammad yang dilantik sebagai utusan.
Pesan-Pesan Terbesar Al-Quran karya Fazlur Rahman- Profesor Pemikiran Islam Universiti Chicago [1919-1988] merungkai secara terperinci dan membongkar ‘pesan-pesan Tuhan’ yang diturunkan oleh Malaikat Wahyu yang secara langsung berbicara di dalam hati Muhammad justeru memposisikan ‘Islam’ sebagai  sebuah agama paling memadai dan sempurna beserta tema dan bukti-bukti rumit dan pelbagai.
Buku terbitan MEGC ini dibahagikan kepada Lapan bab yang menyentuh terus kepada soal-soal pokok dalam Islam yang dimuatkan dalam 224 mukasurat bermula dari soal ketuhanan, individu, kenabian, alam dan sehinggalah soal kemasyarakatan.
Dalam bab awal-buku ini; sebagai sebuah gagasan-gagasan fikiran yang alami; dan sebahagian dari ‘kebenaran agung’ yang mungkin disisihkan selama ini, tersembunyi; bukan kesimpulan-kesimpulan tipikal teologi dan dogmatik semata-mata. Ia amat jauh dari proses doktrinisasi agama yang bersifat ‘lokal’. Jauh dari sudut itu, buku ini-selesa meletakkan Tuhan sebagai ‘dimensi’ yang memungkinkan dimensi-dimensi lain.
Prioriti Al-Quran
Tuhan; bukan benda di antara benda-benda malah bukan juga segala sesuatu atau berada dalam segala sesuatu. Quran sebagai Kalam Tuhan-malah seperti  Tuhan sendiri. -Fazlur Rahman
Al-Quran yang menjadi pegangan ummat-bukan sebuah teori ‘pembuktian’-[bukti telah ada di hadapan mata] mengadakan bukti-bukti rasmi akan eksistensi Tuhan; soal ini tidak wajar wujud kerana priroriti Al-Quran adalah mengajak manusia  untuk ‘merenung, berfikir dan mengambil ingatan’. Selain itu, Fazlur Rahman tegas, mengajak kita untuk merenung kembali kepada konsep-konsep yang telah tersasar dalam pemahaman ummat kini antaranya seperti pemahaman terhadap istilah qadar, syirik, muslim, taqwa dan sebagainya. Kerana dengan memahami istilah-istilah ini dengan bahasanya yang benar. Manusia dapat mengendalikan urusan tata sosial dan moral mereka dengan lebih jujur.
Pesan-pesan Terbesar Al-Quran, menawarkan sebuah kesimpulan-kesimpulan universal, kesinambunagan yang selesa, cetusan ide yang segar, ikhlas dan cocok-tepat pada masanya ketika kita berhadapan dengan pilihan-pilihan Islami yang kaku serta ortodoks, malah paling menyedihkan golongan tersebut menjadikan teks-teks al-Quran sebagai bahan hukum yang rigid dan ia sendiri telah berada di luar garis ‘hukum Tuhan’ yang benar.
Manusia, hak dan keadilan
Mengulas subjek manusia sebagai individu dan dalam masyarakat, Fazlur dalam observasinya menyatakan bahawa manusia mempunyai opsyen untuk memilih dalam proses menyempurnakan misi sebagai khalifah Tuhan-menyempurnakan dan ‘mencipta’ sebuah tata sosial dan moral yang adil di atas muka bumi. Maka untuk itu, proses ini merupakan sebuah perjuangan moral yang tak berkesudahan dan pada masa yang sama menekankan “amanah” sebagai perkara penting disebabkan manusia  ‘belum menyempurnakan perintah Tuhan yang azali.
Seperti mana yang pernah dinyatakan dalam tulisan-tulisan Abdul A’la Al Maududi, Rasyad Khalifa yang dibunuh juga Fazlur Rahman; seluruh semesta ini adalah muslim (tunduk-patuh) kerana tertakluk kepada sunnatullah (hukum alam) yang ditetapkan. Adapun demikian; cuma manusia punya ‘pengecualian’ kerana kita adalah satu-satunya makhluk yang ‘dianugerahkan kebebasan pilihan’ yakni mentaati atau mengingkari perintah Tuhan.
Dalam keberagaman; buku ini langsung mengajak manusia kembali kepada ‘fitrahnya’ dan mencari akal budi mereka sendiri yang telah sedia ‘tertulis di dalam hati’. Inilah yang dikatakan sebagai sebuah ‘Perjanjian Azali’. Perjanjian agar manusia stabil walaupun bukan untuk menjadi ‘perfeksionis’ tetapi ‘cukup sekadar’ manusia mengetahui dosa-dosa besar mereka iaitu “sikap remeh” (da’f) dan “kesempitan fikiran” (qatr) yang menyebabkan kecelakaan iaitu sentiasa beralih dari satu ekstrem kepada ekstrem yang lain dan pada ketika itu- manusia tidak lagi memiliki dimensi transedental.
Dalam merumuskan hubungan manusia dengan masyarakat merujuk kepada Quran [58:7] Tuhan merupakan sebuah dimensi ekstra pada setiap hubungan di antara manusia. Wujud dan hadir dalam apa jua keadaan-bersama dan mengawas. Sekaligus mengkritik segala konspirasi ‘jahat’ yang akan mengacau bilaukan perkumpulan manusia-manusia ‘beriman’ yang wujud. Termasuklah soal pembahagian kekayaan.
Buku ini memberikan penegasan semula dan pemurnian makna Tuhan dan juga melalui Quran melihat ‘kelas-kelas’ manusia dalam merungkai persoalan hak, kekayaan dan bagaimana ia diuruskan. Antaranya mengatakan bahawa kekayaan itu selain hak kepada orang yang mengusahakannya, ia juga tidak meninggalkan hak golongan yang meminta dan ‘orang-orang yang dihalang’. [70:24-25 dan 51:19] kerana soal ‘hak’ adalah berkait dengan soal keadilan.
Rasul-rasul sebagai contoh pemberontak sistem yang korup
Fazlur menekankan bahawa persoalan berkenaan ‘masyarakat Muslim’ tidak akan lari dari ‘ideologinya’ iaitu “menyeru kebaikan dan mencegah kejahatan” [3:104]. Hal ini kerana menyeru kebaikan dan mencegah kejahatan mewakili dimensi-dimensi sosial taqwa dan ianya perlu dalam melaksanakan urusan bersama yakni urusan pemerintahan dan dalam menyatakan soal “mentaati Tuhan, Rasul dan mereka yang berkuasa di antara kamu”.[4:59], Fazlur secara terbuka menegur-menolak politik demagoguery yang berbahaya kepada negara.
Saya amat tertarik di mukasurat 60-61; bagaimana penulis dalam menyatakan ‘hukuman berat’ terhadap pemberontakan terhadap negara – “orang-orang yang memberontak melawan Tuhan” pada masa yang sama beliau menyatakan bahawa menurut Quran, semua nabi sesudah Nuh adalah pemberontak terhadap sistem yang telah mapan. Dijelaskan lagi logika bagi pemberontakan ini disebabkan “kerosakan di atas dunia” yakni ketika urusan-urusan politik, moral, antara negara, sosial tidak terkendalikan lagi.
Soal ‘kerosakan di atas dunia’ dikaitkan pula dengan ‘tenggelam dalam kemewahan hidup; dan ia juga boleh disebut sebagai ‘penyakit-penyakit moral’ adapun Fazlur tidak meletakkkan secara mutlak perkaitan tersebut, beliau mengaitkannya lagi dengan ‘tekanan ekonomi’ atau tekanan politik dan sosial dan eksploitasi terhadap orang-orang miskin dan kelas-kelas rendah dalam masyarakat.
Semua ini berlaku atas asas yang kukuh iaitu ‘penyelewengan dalam mencari kedamaian, kemakmuran dan kekuasaan. Dan cara paling berkesan untuk mengembalikan keadilan sewajarnya terhadap golongan tertindas ialah berjihad-memberontak-bangun melawan; sebuah tanggungjawab moral juga dikenali sebagai taqwa. Sambil menempelak propaganda sempit Kristian Barat mengenai konsep ‘jihad’ yang ternyata tidak benar pada masa yang sama membuka mata dunia dengan apa yang telah berlaku semasa ekspedisi-ekspedisi Charlemagne terhadap suku-suku puak di Jerman.
‘Ukuran-ukuran’ dalam aksi manusiawi
Soal masa, itu sesuatu yang relatif dan tergantung kepada wujud sesuatu subjek tertentu lantas terkait dengan isu-isu melibatkan momen-momen waktu yang kadangkala samar dalam penafsiran manusia. Sebagai alasan yang selamat; Fazlur meletakkan konsep masa ini sesuatu yang tidak boleh difahami secara literal.
Pesan-pesan Terbesar Al-Quran ini dengan jelas meletakkan perbezaan kemutlakan Tuhan dan keterbatasan manusia [terhad]. Keterbatasan ini- setiap sesuatu selain Tuhan dapat diukur dan inilah yang dimaknakan dengan qada’, qadar ataupun takdir. Sering ‘ukuran-ukuran’ ini disalah tafsir kepada sesuatu yang ‘tepat-mutlak’ sedangkan kemutlakan ukuran ini juga bukan sesuatu yang ‘adil’ bagi setiap ketetapan azali oleh Tuhan.
Mengulas persoalan ini; qadar ataupun ukuran selain implementasi buat semesta alam juga berfungsi pada tingkat yang menyeluruh dalam ruang aksi manusia.Tetapi kelebihan manusia merupakan kebebasan memilihnya yang menjadikan qadar bukan suatu persoalan yang horizontal malah setiap proses ; setiap kejadian alam adalah objek terpisah-pisah dan bergetar pada lingkung-lingkung energi tertentu.
Bagaimanapun, ruang kebebasan qadar manusia dengan sendirinya mengganggu proses-proses alami untuk mencari keajaiban-keajaiban Tuhan sedangkan keajaiban telah wujud di hadapan manusia malah di sisi tuhan, tidak ada yang mempunyai kewajaran-keupayaan tersendiri untuk wujud.
Rantaian dari persoalan ini, Fazlur Rahman mengungkapkan:
“…boleh jadi untuk yang wujud hanyalah ketakwujudan yang kosong dan tidak ada kewujudan yang seumpama ini, kekosongan yang tulen dan tidak ada kewujudan yang kaya seperti ini, tetapi terjadi semua ini hanyalah dengan tindakan azali Tuhan yang Maha Pengasih.”
Dalam konteks ini, Fazlur senang menetapkan bahawa kewujudan semesta [seluruhnya] adalah penjelasan terhadap tanda-tanda Tuhan; yang jelas (bayyinah)-nyata dan tiada keraguan. Terikat dengan hukum sebab dan akibat dan bersifat autonomi selain menjelaskan rumusan-rumusan abstrak akan definisi berkait antaranya istilah ayat, burhan dan sultan.
Politik pecah belah Muhammad: syaitan, urusan hati dan komunikasi masyarakat
Muhammad, sehingga dituduh ‘ahli sihir’, korban sihir dan ‘kerasukan roh jahat’ meneruskan usaha ‘menyampaikan pesan-pesan Tuhan’. Jelas pesan-pesan Tuhan yang dibawanya merupakan pesan-pesan yang bersifat revolusioner (menyampaikan secara terang-terangan 15:94) dan demonstratif. Selain itu misi dakwah Muhammad secara langsung memecah-belahkan masyarakat Arab ketika itu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati pimpinan Quraisy sebelum berlaku ‘gejolak rohani/spiritual’ yang kuat dalam sebahagian besar mereka kemudiannya.
Menyentuh persoalan kenabian dan wahyu ini, Fazlur  berkongsi kepada kita dengan teori-teori yang mengujakan termasuk pendapat-pendapat moderat bagi peristiwa Israk-mikraj yang secara terang bertentangan dengan pendapat mainstream Islam di mana proses tersebut dikatakan sebagai ‘pengalaman batin’-‘persoalan hati’ dan separa-konkrit. Adapun demikian, Fazlur dengan panjang lebar memperkemas dengan terperinci makna dan method ‘penurunan wahyu’ berdasarkan fakta-fakta dalam al-Quran yang sangat menarik dan pada masa yang sama meletakkan peranan ‘Jibril’, malaikat, roh kudus dan Tuhan pada satu tempat dan pengertian yang sewajarnya.
Ketika Muhammad membawa pesan-pesan Tuhan untuk menegakkan tata moral unggul bagi ummat manusia “menyeru kebaikan mencegah kejahatan”. Syaitan merupakan subjek yang tidak asing dalam urusan manusiawi termasuk golongan jin dengan plot-plot jahat mereka ke atas manusia. Walaubagaimana ‘hebat’ sekalipun perancangan ‘syaitan’; perkara paling asas bagi kejayaan mereka aalah kelemahan manusia. “…kerana perancangan syaitan adalah lemah.” [4:76].
Fazlur Rahman; selain melihat syaitan sebagai ‘objek diri’, beliau turut menyatakan bahawa syaitan juga terdiri dari kalangan manusia dan jin [6:112] pada masa yang sama mencetuskan persoalan apakah syaitan itu adalah ‘prinsip’ kerana ‘kejahatan’ melalui proses ‘personalisasi’.
Dalam bab akhir buku ini, kita dibawa untuk menyingkap secara telus proses politik Muhammad yang sentiasa cuba untuk mendapatkan otoriti buat dirinya sendiri sehingga lahirnya sebuah ‘masyarakat Muslim’. Ia juga mendedahkan momen-momen komunikasi dan tentangan terhadap Muhammad di antara penduduk-penduduk Mekah [menganut agama nenek moyang] yang suka berbantah-bantah dan ummat Arab beragama Kristian dan Yahudi. Pun begitu, di kalangan ummat Kristian dan Yahudi, ada di antara mereka mengakui kebenaran dakwah Muhammad dan menyokong-memberi dorongan terhadap usaha tersebut.
Proses-proses awal Islamisasi masyarakat arab dilihat dari dua period iaitu period semasa di Mekah dan di Madinah dan dalam tempoh tersebut memperlihatkan kecenderungan-kecenderungan tertentu wahyu dalam menyebut hubungankait pesan-pesan Tuhan pada Quran dengan kitab-kitab dan suhuf-suhuf yang dibawa nabi-nabi terdahulu dan secara langsung; dalam pembentukan ajaran Muhammad-pertukaran kiblat dari Jerusalam ke kota Mekah, sesungguhnya telah memberi impak yang besar.
Pesan Terbesar
Buku Pesan-pesan Terbesar Al-Quran ini bukan sekadar pendedahan- ianya merupakan pelan konstruktif dalam pembentukan faham Qurani dan membetulkan salah faham; cuba merungkai persoalan-persoalan penting;  menonjolkan ide-ide berani yang tujuan akhirnya membuahkan nilai-nilai tertentu dalam konteks menegakkan tata sosial moral agar manusia menjadi ‘muslim’ dan terhubung dengan frekuensi samawi sepertimana yang dikehendaki Al-Quran. Al-fatihah buat Fazlur Rahman.

Hafiz Zainuddin adalah penulis bebas, salah seorang kolumnis di Merdekareview dan penggiat sepenuh masa continuallybebas.

 
Tulisan Berkaitan


 
Nuffnang Ads

SATU KOMEN 

  1. fazlur rahman mmg thoughtnya ada yg cantik tapi bukankah dia juga mengatakan Al-Quran itu both the word of god n the word of muhammad ? (dengan kaedah hermeneutika fisafatnya itu) , yo , kalau sudah cakap Quran bukan sepenuhnya kalam Tuhan atau ia kalam Muhammad , itu perkara besar dalam aqidah bro , boleh bawa kufr…ooo

TINGGALKAN KOMEN

 
 
 

Monday, 1 October 2012

PERBILANGAN ADAT PERPATIH, MELUASKAN PEPATAH MELAYU


GLOSARI ADAT NEGERI SEMBILAN


(Dipetik daripada akhbar mingguan, Utusan Zaman, 28 Julai 2002)


 


CATATAN A.F.YASSIN


Perbilangan Adat Perpatih Dibukukan



Sekali lagi Norhalim Ibrahim, mantan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang menunjukkan bahawa dia bukan calang penulis dalam bidang adat resam di Negeri Sembilan. Warga suku Batu Hampar Rembau ini menambah sebuah lagi buku tentang adat yang bakal menemui pembaca di pasaran Ogos depan. Dengan bantuan Kerajaan Negeri Sembilan, terutama Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Menteri Besar, Norhalim mengusahakan Glosari Istilah Adat Negeri Sembilan. Katanya, “Saya mengambil masa dua tahun lebih mengkaji setiap istilah yang ada kaitannya dengan adat Perpatih.”  Norhalim sejak bersara dari UPM dilantik sebagai Karyawan Tamu kerajaan negeri. Tugas utamanya mengusahakan penyusunan gloasari perbilangan adat perpatih.



Menteri Besar yakin Norhalim mampu melakukannya berdasarkan sejumlah buku tentang adat perpatih yang telah ditulisnya. Sejak satu dekad lalu, Norhalim berjaya menerbitkan Adat perpatih (1993), Negeri Yang Sembilan (1995), Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan (1996) dan Sejarah Linggi (1998). Bersama Mohamad Tainu dan Dharmala NS, Norhalim menyusun Adat Merentas Zaman (1994), Luak Tanah Mengandung (1994) dan Luak Jelebu (1994). Akhirnya bersama Asmawati Baharuddin Norhalim menulis Adat Idtiadat Perkahwinan Melayu, Cina dan India (1996).



Kelahiran Glosari Istilah Adat Negeri Sembilan dianggap kemuncak penulisannya tentang adat, walaupun katanya akan ada beberapa buah buku lagi bakal disiapkan. Semuanya tentang adat di tanah-tanah luak seperti Johol, Sungai Ujong, Jelebu, Tampin dan Naning. Katanya, “Sedang dirancang. Insya Allah, kalau tak ada haral, semuanya akan diusahakabn. Doa sahajalah supaya badan saya sihat walafiat.” Ini kata-katanya ketika saya mengunjunginya di Seremban baru-baru ini.



Norhalim, sarjana lulusan University of Hull, United Kingdom, bukan orang baru dalam adat. Pandangannya tentang adat Perpatih sering diminta oleh Datuk-Datuk Lembaga pelbagai luak, malah  oleh Yang Dipertuan Besar sebagai Ketua Dewan Adat Negeri Sembilan. Norhalim bicara tentang adat bagai air lalu, dan jarang sekali dia menolak pelawaan asal sahaja isu yang dibangkitkan adalah tentang adat itu sendiri bukan pribadi pemimpin adat, misalnya.



Buku Glosari yang disusunnya  bukan pula calang-calang buku. Sekali imbas penyusunannya mengambil pendekatan kemasyarakatan dan mesra pengguna, terutama pemimpin-pemimpin adat di negeri beradat itu. Norhalim mengakui ramai pemimpin adat  masih memerlukan satu bahan rujukan yang  “boleh digunakan dalam melaksanakan pentadbiran adat sehari-hari.”  Maklum, Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem matrilenal kekeluargaan. Maka pemimpin adatnya mahu tidak mahu perlu  mahir dalam perjalanan adat, paling-paling tahu konsep dan pengertian setiap perbilangan yang memperkasa sistem itu. Naning, walaupun  masih mengamalkan sistem adat perpatih dan berada di Negeri Melaka, satu ketika dulu ia memang  sebahagian daripada Negeri Sembilan. Konon ceritanya, Melaka dan Negeri Sembilan saling bertukar kawasan antara Port Dickson dan Alor Gajah (nama Naning sekarang) supaya Negeri Sembilan punya kawasan pantai juga. 



Glosari ini berupa kamus istilah. Paling-paling itu yang dimaksudkan Norhalim. Menurutnya, minat untuk menyusun gloasari adat timbul akibat bertambah seriusnya hakisan budaya adat terutama di kalangan generasi muda. Katanya, “Penghakisan bermula apabila masyarakat cuba meniru dan mengamalkan ideologi dan cara hidup Barat. Inggeris, utamanya, telah memperkenalkan sistem sosial baru yang bertentangan dengan sistem sosial adat Perpatih. Antara yang paling ketara ialah sistem birokrasi, ekonomi dan penjuraian keturunan.” Menurut Norhalim, Inggeris telah menghapuskan kuasa dan  peranan pembesar adat yang sebelumnya  berfungsi dalam pentadbiran negeri. Kini yang tinggal hanyalah  “gelaran” yang tidak mempunyai apa-apa makna kecuali sebagai saksi dan penasihat.



Di samping itu pengasingan adat dalam hampir semua aspek  kehidupan bermasyarakat, terutama dalam zaman sains dan teknologi, IT dan globalisasi menghantui pengamal adat. Seperti katanya, “ Budaya adat tidak lagi mendarah daging dalam jiwa dan sanubari generasi muda Negeri Sembilan sekarang.”



Kemudian ada satu hal yang amat mendukacitakan Norhalim. Hal itu membabitkan sikap pemimpin adat pada suatu ketika. Berdasarkan penyelidikan awal 1980an,  ramai orang tua di negeri itu berpendapat  bahawa perbuatan merakamkan  segala sesuatu yang berkaitan dengan adat adalah dilarang sama sekali. Ia Rakaman dianggap tabu. Malah pada tahun 1970an, ada ura-ura untuk mendokumentasikan undang-undang adat Perpatih tetapi berakhir dengan satu polemik yang berpanjangan dalam akhbar tempatan. Hari ini pun ada sesetengah pihak terutama pemimpin adat yang masih terang-terangan menentang sebarang usaha untuk  “mengkanunkan” adat Perpatih. Tidak pula dinyatakan sebab-sebabnya. .



“Saya harap tidak ada siapa nak cuba tentang usaha saya menyusun istilah  adat ini,” kata Norhalim. “Walaupun saya rasa apa yang saya hasilkan ini belum lengkap dan masih mempunyai kelemahan. Saya terpaksa mulakan. Kalau tak ada oragn lain berbuat apakah salah saya membuatnya?”  Dalam kata Pendahuluan buku gloasari ini, Norhalim menekankan “kesedaran penyusun memberanikan diri berusaha, mencari dan mengutip istilah-istilah . Penyusun menggunakan banyak sumber, antaranya manuskrip lama (terombo)), dokumen rasmi dan tidak rasmi, buku, jurnal, majalah, akhbar dan warga berusia emas dari seluruh daerah adat di Negeri Sembilan….Sebagai usaha awal buku ini cuba merakamkan istilah, kata dan anak kalimat yang dianggap penting dalam memahami perjalanan  dan fungsi adat Perpatih secara menyeluruh.”



Memang menarik menyingkap-nyingkap halaman glosari ini. Bagi mereka yang telah terbiasa dengan mainan kata-kata perbilangan adat Perpatih, gloasri ini akan menambahkan lagi pemahaman tentang konsep perbilangan, lengkap dengan contoh amalan dan fakta  adat. Hampir seluruh kehidupan beradat diwakili. Ada sahaja istilah yang mewakilinya. Sebagai contoh pengertian adat itu sendiri. Norhalim memasukkan  apa yang disebut  “adat benar” yang bererti adat orang asli Jakun yang menjuraikan keturunan mengikut sebelah ibu. Adat ini berbaur dengan adat orang pendatang dari Sumatera (Minangkabau) lalu mewujudkan adat Perpatih. Kemudian ada pula istilah “adat nan diadatkan”. Ungkapan ini membawa erti  peraturan hidup yang sengaja dibentuk oleh ketua-ketua adat sebagai perancangan untuk melaksanakan adat yang sebenarnya adat. Manakala perbilangan adat yang sebenarnya dat ini pula bermaksud  peraturan yang paling awal wujud di kalangan masyarakat, berasaskan kenyataan alam, yang telah memberi pengalaman dan pengajaran kepada manusia untuk membentuk perlakuan dan jiwanya dalam memenuhi  keperluan  hidup sehari-hari hingga menjadi satu kelaziman. Ia juga dikenali dengan adat alam atau hukum alam.



Ada pula istilah “adat nan teradat”. Ia bermaksud satu kebiasaan yang lambat laun mentradisi dalam masyarakat yang awalnya tidak disarankan kepada keputusan dan muafakat. Adat ini longgar kerana tidak diadakan melalui satu musyawarah dan muafakat. Adat Naning diberikan keterangan yang panjang. Menurut Norhalim Adat Perpatih di  Naning berbeza sedikit  daripada adat Perpatih yang diamalkan di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Sayangnya tidak pula dinyatakan apanya yang membuat kedua-dua adat itu berbeza. Amalannyakah atau konsepnyakah?



Cuma yang dijelaskan adat Naning  diamalkan oleh 25 buah mukin di Alor Gajah, Nyalas dan Jasin, iaitu Ramuan Cina Besar, Ramuan Cina kecil, Sungai Baru Ulu, Masjid Tanah, Sungai Siput, Berisu, Ayer Paabas, Lendu, Sungai Buloh, Melekek, Tabuh Naning, peguh, Kelemak, Pulau Sebang, Tanjung Rimau, Padang Sebang, GadekMelaka Pindah, Rembia, Sungai petai, kemuning, Tebung, Batang Melaka, Nyalas dan Jus. Fikir- punya fikir kalau sudah 25 daerah ini mengamalkan adat Perpatih Naning, berapa daerah sahajakah  lagi yang tidak termasuk wilayah adat ini? Begitu juga dengan adat Tampin, yang menurut Norhalim sejenis adat Perpatih yang diamalkan di Tampin dan sedikit berbeza dengan adat Perpatih di luak-luak lain di Negeri Sembilan. Apanya yang lain turut tidak dijelaskan dalam gloasri ini. Tanpa penjelasan lanjut  istilah “adat Tampin” ini tidak membawa banyak manfaat.



Barangkali pula Norhalim menganggap keterangan ringkas itu bukan satu kelemahan. Ia mungkin satu muslihat sekedar memperkenalkan istilah adat dengan catatan bahawa yang berminat akan sabar menunggu kelahiran buku Sejarah Tampin yang sedang diusahakan Nurhalim selanjutnya. Jika demikian halnya, maka fungsi sampingan glosari ini ialah “menjadi alat menggeletek pembaca” untuk menunggu dengan sabar penerangan lanjut tentang  ‘Adat  Tampin” dan sebagainya. Masih ada istilah-istilah seperti “Adat Jelebu”, “Adat Sungai Ujung”, “Adat Rembau” Adat Johor” dan Adat Temenggung.”



Seperti lazimnya, kata masukan dalam glosari ini disusun mengiukut abjad. Ada pula kata masukan yang membawa keterangan lanjutan siap dengan contoh-contoh perbilangan dan disetengah tempat lengkap dengan sebutan dialek Negeri Sembilan. Dalam “Adat nan sebenar adat” misalnya, contoh perbilangan yang diberikan ialah  “Biar mati anak jangan mati adat” dan “Siang menjadi tongkat, malam menjadi selimut”.



Nama-nama gelaran adat lengkap dimasukkan. Dari sekecil-kecil pemimpin adat yang bergelar “buapak” hingga sebesar-besar pemimpin adat yang bergelar “undang”. Kadang-kadang sukar membezakan apakah gelaran itu untuk suku yang mana satu. Begitu juga halnya dengan nama-nama suku. Hampir di setiap daerah atau luak, terdapat banyak persamaan nama. Contohnya setiap luak mempunyai satu suku yang disebut Biduanda, sama ada di di luak Sungai Ujung, Rembau, Jelebu mahupun Johol. Hal ini penting difahami kerana dari suku biduanda inilah terlantiknya Undang Luak, atau dulunya dipanggil penghulu adat. Istilah “biduanda” ini ditakrifkan sebagai nama salah satu suku yang dipercayai anggota-anggotanya adalah daripada keturunan orang asli tempatan. Anggota suku ini sahaja yang boleh menyandang pusaka Undang atau penghulu di semua luak adat Perpatih melainkan Luak Gunung Pasir dan Luak Teraci.



Glosari setebal 260 halaman ini turut memuatkan lampiran “Ringkasan Sosiopolitik Luak-Luak Adat Perpatih” yang dianggap bonus buat pembaca. Dalam lampiran ini disenaraikan satu-persatu nama gelaran, jawatan dan lokasi luak. Glosari diterbitkan hanya dalam edisi kulit tebal dengan harga senaskhah  tidak dicatatkan. -ends